MENU

City Park S2  City Park S2  City Park S2

Kepada warga Seremban, malah warga kota yang mahu mencari destinasi riadah bersama keluarga, kunjungilah S2 City Park Seremban Dua, pada hujung minggu atau cuti sekolah. Tiba sahaja di kawasan seluas enam hektar itu, pengunjung disambut dengan lanskap indah serta dekorasi puluhan layang-layang berwarna-warni.

Taman yang dibuka tahun 2005 ini menyediakan pelbagai aktiviti, daripada trek riadah, gimnasium serta gelanggang bola keranjang, futsal dan badminton. Ia juga sesuai pada mereka yang ingin merehatkan fikiran bersama keluarga sambil menyaksikan pancuran air terjun dari bangku rehat atau wakaf yang disediakan.

Satu keistimewaan taman ini ialah pengunjung boleh memberi makan ikan hiasan yang dibela di tasik berkenaan pada waktu yang ditetapkan. Seperti juga kebanyakan kawasan riadah lain, S2 City Park juga mempunyai kemudahan awam seperti tandas, tempat meletak kereta yang luas dengan persekitarannya diselia beberapa pengawal keselamatan.

Lokasinya juga strategik dan terletak jauh daripada kesibukan bandar. Persekitarannya yang indah terutama flora dan faunanya yang pelbagai sesuai untuk memberikan ketenangan dan kedamaian kepada pengunjung.

Kemaskini Terakhir: Rabu, 23 Oktober 2019 - 8:02am