MENU

ydp

Asalamualaikum dan salam sejahtera, kepada pelawat-pelawat Laman Web Majlis Perbandaran Seremban (MPS). Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat datang ke Laman Web MPS. Sebagai penghargaan kepada pengunjung-pengunjung laman web MPS, kami di MPS sentiasa menerokai dan mencari idea, kaedah dan inovasi baru dalam usaha memberi perkhidmatan yang cekap dan terbaik kepada seluruh warga Seremban.

Selaras dengan peredaran masa, MPS seboleh mungkin turut mengaplikasikan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam sistem penyampaian perkhidmatannya. Kecanggihan teknologi terkini memungkinkan sesuatu perkhidmatan itu diberikan dengan pantas, cekap dan tepat. Portal Rasmi MPS ini adalah salah satu pendekatan yang diwujudkan oleh MPS bagi mencapai matlamat tersebut.

Melalui laman web ini, pengunjung-pengunjung akan disajikan dengan paparan maklumat terkini mengenai perkhidmatan yang disediakan, garis panduan yang digunapakai, perkhidmatan atas talian, aktiviti dan program yang dijalankan, kemudahan-kemudahan yang disediakan  dan juga maklumat  am mengenai MPS dan Bandar Seremban.  Kami di MPS mengalukan-alukan cadangan atau idea dari pengunjung  Laman Web ini untuk kami jadikan inspirasi dalam membentuk sebuah PBT yang mampu memberi kepuasan kepada semua pihak khususnya warga Seremban.

Penggunaan internet untuk urusan seharian dan sebagai wadah untuk mendapatkan informasi merupakan suatu kebiasaan, sejajar dengan perkembangan teknologi komunikasi dan kemajuan perkhidmatan jalur lebar. Mendepani realiti komunikasi masa kini, MPS komited untuk menyediakan laman web yang mesra pengguna dengan kemudahan perkhidmatan atas talian yang cekap dan berkesan bagi memenuhi tuntutan semasa dalam usaha untuk  ‘Merakyatkan Perkhidmatan Awam’.

Selain itu, ‘Transformasi Perkhidmatan Awam’ berlaku dengan pantas dan agresif. Kita menyaksikan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak terkecuali melakukan pelbagai inovasi untuk membantu pihak awam menyelesaikan urusan mereka termasuk diluar waktu pejabat dengan kemudahan atas talian yang disediakan seperti Aduan MPSNS, semakan kompaun letak kereta, semakan cukai taksiran dan bil, pertanyaan inbois pembekal, semakan status permohonan lesen, notis sebutharga, maklumat perancangan dan pembangunan, dan maklumat pembangunan ekonomi.

Dengan adanya laman web ini,  saya berharap agar ianya dapat menjadi salah satu medium antara MPS dan  masyarakat  dalam menjalinkan  kerjasama erat khususnya warga Seremban menerusi maklumbalas dan respon membina demi kemajuan dan kesejahteraan bandar Seremban yang kita cintai ini. Saya berharap agar laman web ini berjaya menjalankan fungsinya sebagai wadah mendapatkan maklumat dan perkhidmatan. Tanggungjawab yang diamanahkan akan kami laksanakan dengan penuh rasa tanggungjawab agar kita semua dapat melahirkan Bandar Seremban sebuah bandar yang  Bersih, Indah, Selesa dan Maju selaras dengan hasrat Kerajaan untuk melaksanakan Tranformasi Perkhidmatan Awam dan Merakyatkan Perkhidmatan Awam.

YANG DIPERTUA
Y. Bhg. Dato' Haji Abd. Halim Bin Haji Abd.Latif;
 DPTJ, ANS, PMC, PJK